Lampam jawa yang tinggal di dalain kolam atau lombong dapat memberi kepuasan sekiranya anda menggunakan peralatan pancing yang ringan. Teknik yang sama untuk memancing lampam sungai turut boleh digunakan tetapi gunakan joran aksi lembut. Bibir lampam jawa agak lembut dan rembatan yang kuat daripada joran yang keras boleh menyebabkan mata kail tercabut daripada mulutnya.
Sebenarnya, lampam jawa adalah spesies herbivor, jadi dedak dan roti adalah umpan terbaik. Walau bagaimanapun, saya pernah mendapat ikan ini menggunakan gewang layang menyerupai serangga dan anak ikan. Mungkin akibat makanan yang terhad menyebabkan ia memburu makanan hidup pula. Saya sendiri pernah melihat lampam jawa yang besar mengejar anak-anak ikan. Jadi ini juga merupakan berita baik untuk pemancing yang gemar menggunakan gewang.
Lampam jawa yang hidup di sungai kurang menggemari makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan berbanding lampam jawa yang hidup di kawasan air tenang. Selain umpan biasa seperti dedak dan roti, anda boleh mencuba hirisan buah kelapa sawit, cacing dan juga perut ayam.
No comments:
Post a Comment